23 September 2011

Tun Sepat

Ada pun Hakir yang kadang-kadang malas kadang-kadang rajin ini, baru juga menghabiskan sebuah novel sejarah Islam. Bila mana hakir selesai membacanya maka banyak pula yang bermain difikiran hakir ini.

Membaca novel perang di dalam islam ini menyebabkan hakir terpaksa mengkoreksi diri. Namun apa yang hakir tulis ini adalah pandangan hakir semata-mata, yang boleh jadi benar boleh jadi salah, adapun hakir tidak menyalahkan sesiapapun. Kalau ianya mempunyai kebaikan maka tuan-tuan ambillah sampai pengajaran adapun kalau banyak buruknya maka tuan-tuan buatlah sempadan.

Adapun bila seusai membaca kisah mengenai tokoh peperangan yang hebat ini. Hebatnya dia berperang kerana dia berperang mengikut cara Rasulullah. Selama mengikuti kisah perang ini hakir tertanya-tanya juga apa yang hakir telah buat selama ini.

Adapun Sultan Salahudin ini lah yang hakir maksudkan boleh jadi juga nanti hakir masukkan juga nama-nama panglima-panglima lain. Jika ditelesuri perjalanan peperangan mereka ini. Didapati mereka berperang dengan keringat, kekuatan fizikal dan mental, adanya strategi peperangan, doanya, persenjataan yang baik dan ciptaan senjata yang baru. Kebijaksanaan yang tidak terfikir oleh hakir,keberanian yang luar biasa.keimanan yang melangit tingginya.

Sultan salahudin al-Ayubi ini apabila dimedan perang ibarat seorang ibu yang kehilangan anaknya. Beliau kelihatan sentiasa berada diatas kuda bergerak dari penjuru medan perang ke penjuru medan perang yang lain sambil menyeru tenteranya berjuang kerana Allah. Mengikut kisahnya adalah bukan mudah untuk menguasai jurusalem kembali kalau tidak betul caranya hatta sudah sampai tentera Islam berjaya mengepung Kota itu pun masih belum dapat ditembusi maka sultan Salahudin sendiri yang meninjau kawasan tersebut dikelilinginya kota di gunakan kebijaksanaan bagaimana mahu menerobos kota yang berlapis-lapis itu. Maka berjayalah dia menemui kelemahan Kota itu.

Mengapa hakir membawa kisah ini?. Adapun hakir ini hanyalah seorang Melayu yang kerdil sahaja. Kalau ingin dibanggakan hanya disebabkan melayu sahaja maka hakir rasa terlalu lemah lah diri hakir ini. Kerana Hakir berpendapat Melayu ini hebatnya dan gahnya kerana dia membawa Islam yang syumul. Jika dia meninggalkan agama dari langit ini maka akan hina dina jadinya. Diperi kan cerita hakir ini kebetulannya amat suka denga seni beladiri tidak kira apa alirannya, entah dari mana munculmya minat ini tidak pula hakir ketahui. Maka agak berlama juga hakir dalam menekuni ilmu ini maka terjumpa jugalah hakir perkara-perkara yang pelik lagi mencarik adat namun tidak pula hakir nafikan seratus peratus akan kepelikkan ini.

Ada juga yang mengatakan orang melayu ini punya ilmu hebat-hebat sepertinya kalau di serang aik! Tidak mengena tersasar ke sana kemari seperti ada yang menangkis tetapi tidak kelihatan. Pengamal beladiri ini hanya membuat isyarat sahaja maka tiada serangan yang mengena. Jika dia mahu menyerang maka di isyarat sahaja dengan gaya tumbuk maka terperlantinglah sekalian makhluk. Wah! Sungguh hebat!

Adapun ilmu ini katanya boleh diperolehi dengan amalan tertentu juga.

Maka amat lah hairan di hati hakir kerana apabila ada sahaja persembahan begini begitu cepat pula setengah orang yang mengatakan ini adalah pakaian para wali. Ini adalah kuasa dari Allah. Adapun yang mengatakan bahawa ini kuasa dari Allah tidak hakir nafikan. Sesungguhnya Allah maha berkuasa. Perlu diingat juga hatta ilmu sihir pun akan berlaku jika mendapat izin dari-Nya.

Amma yang menjadi kerisauan di hati hakir benarkah ini pakaian para wali. Kerana kalau wali sungguh maka hakir tiada hairan tapi jika ramai pula yang boleh melakukannya fuh!.. Adakah semuanya para wali, adapun setahu hakir bukan sikap para wali menunjukkan karomahnya tidak menentu pasal. Takut fitnah pula jadinya tambah di zaman tuan-tuan nanti terlalu banyak fitnahnya hatta tilam dan bantal pun boleh menjadi saksi.

Selama hakir menuntut ilmu agama dulu yang kadang-kadang pergi yang kadang-kadang tidak, teringat juga hakir akan pembahagian perkara yang mencarik adat ini oleh Tuan guru hakir katanya ” adapun perkara pelik atau mencarik adat ini jika berlaku pada nabi-nabi maka itu dipanggil mukjizat, jika berlaku pada wali Allah maka itu di panggil karomah, jika berlaku pada orang biasa itu namanya maunah. Adapun sihir itu boleh berlaku juga kepada orang kafir mahupun orang islam yang menuntutnya, Cuma tidak tahulah bagaimana orang islam itu akan imannya. Kerana sihir ini bersekongkol dia dengan syaitan dan jin yang jahat dan seperkara lagi dipanggil istidraj yakni Allah bagi kepada mereka perkara mencarik adat itu sedangkan dia dalam keadaan derhaka. Maka adalah itu sebenarnya untuk menjauhkan lagi dia dari Allah kerana dia terlalu mengikut hawa nafsunya dan terlalu juga menuntut dunia.

Maka berkata-kata juga hakir di dalam hati maka ilmu pelanting mempelanting ini duduknya di kelompok mana. Itu bukan lagi yang jenis tetak tak lut . Pada pandangan hakir kalau nak dikatakan karomah maka hakir rasa perlu diperhati dengan sehalus-halusnya. Namun hakir tidak pula menghukum sebarangan cuma hakir pinta kita perlu mengkaji dan meniliti terlebih dahulu. Apa yang hakir risau kita menerima tanpa usul-periksa maka takut-takut jika tersalah langkah kita termasuk dalam kelompok sihir.

Adapun pada pandangan hakir kalau ianya maunah maka maunah ini berlakunya bukanlah selalu-selalu hatta berlakunya adalah dengan kehendak yang Maha Kuasa jua, bukan ketentuan kita. Bukannya apa, kadangkala ada yang beranggapan kalau kita baca ayat ini ayat itu maka mesti kena jadi, ibaratnya seperti kita memaksa Allah pula untuk menerima doa yang dibaca maka adakah ianya begitu?

Adapun dalam pada pengamatan hakir yang tidak berapa pandai ini, kalau lah perkara hebat lagi pelik ini terboleh sangat jadinya pada nabi-nabi pada sahabat yang imannnya sangat hebat dan kepada mereka-mereka yang pernah memimpin angkatan perang Islam. Apa tidaknya kalau kita lihat Rasulullah juga berperang hatta mengalami cedera dan luka juga adanya, sedangkan baginda adalah kekasih Allah. Namun tidak dinafikan banyak pertolongan Allah sampai, itu boleh kita telesuri juga seperti dalam perang badar. Ada pun seperti Saidina Ali orang yang hebat juga mengangkat senjata dan berperang juga, maka cedera dan luka itu perkara biasa juga pada dirinya.

Maka hakir juga berpendapat agar di hayati juga mereka-mereka seperti Khalid al-walid yang tidak pernah kalah dalam setiap peperangan yang dipimpinnya tapi beliau berperang tidak lain tidak bukan adalah kerana Allah juga semata-mata. Tidak gila akan jawatan dan pangkat sebagaimana sekarang ini. Yang kadang-kadang jika dilihat perebutan kuasa dan jawatan itu hanyalah sebuah pertubuhan kecil sahaja.

Maka boleh juga di tekuni kehebatan dan kecerdikan Sultan Muhammad al-Fateh di zamannya. Yang kapal berlayar di atas daratan. Penggunaan meriam dalam peperangan.

Ah! Nampaknya dah terlalu panjang cerita hakir ini, cukuplah sampai di sini. Adapun untuk mengingat kembali, kisah ini hakir nukilkan adalah pandangan hakir semata-mata tidaklah hakir mengata kepada sesiapa. Sekadar ingatan pada diri hakir juga sebenarnya.

Yang mengisahkan kisah:

Tun Sepat