25 Oktober 2010

ADAB MENJAGA DAN MENGHORMATI BUKU

ADAB MENJAGA DAN MENGHORMATI BUKU

Cubalah anda perhatikan sejenak ke almari atau rak buku di rumah anda! Bagaimana anada menyusun buku di rak atau di almari? Adakah anda menyusun mengikut sesuka hati anda atau anda menyusun mengikut peraturan atau sistem tertentu yang memudahkan anda untuk mengesan dan mendapatkan kembali buku yang disusun itu? Anda mungkin tidak mempunyai masalah jika koleksi buku anda masih kecil tetapi anda akan menghadapi masalah besar jika koleksi buku anda besar. Lebih canggih lagi, apakah anda menyusun buku bedasarkan klasifikasi tertentu seperti Dewey Decimal Classificatio (DDC). DDC ialah sistem utama pengelasan buku yang digunakan oleh perpustakaan di seluruh dunia, yang dikembangkan pada tahun 1873 oleh Melville Dewey, pustakawan dari Amerika. Sekiranya anda tidak bedasarkan klasifikasi tertentu, anda perlu mempunyai sistem sendiri yang sistematik, yang mana dalam jangka masa panjang tidak akan menyusahkan anda khususnya apabila koleksi perpustakaan peribadi anda atau perpustakaan rumah anda semakin membesar.

Keperluan pada klasifikasi yang standard sebenarnya merupakan satu adab untuk menjaga dan menghormati buku. Dalam sejarah tradisi ilmu silam, sama ada Islam. Yunani ataupun China, terdapat tradisi adab menghormati buku. Melalui tradisi, kita diajar adab menghormati ilmuan: orang bijak pandai dan alim ulama. Secara logiknya ia juga menggambarkan perlunya penghormatan terhadap buku. Buku di hormati bukan kerana fizikalnya tetapi isinya yang mencerdaskan umat manusia.

Tidak hairanlah dalam tradisi ilmu Islam, adab menjaga dan, menghormati buku amat di tekankan sebagaimana saranan Musa al-Almawi (meninggal dunia 1573) seperti mana yang dikutip oleh Franz Rosenthal dalam buku klasiknya The Techniques and Approach of Muslim Scholarship (1974). Menurutnya, buku-buku harus disusun menurut subjek, dan buku yang paling penting harus ditempatkan paling atas. Susunan berikut harus dipatuhi:

1. Al-Quran

2. Tafsir al-Quran

3. Kitab Hadith

4. Komentar terhadap kitab Hadith

5. Kitab-kitab usuluddin

6. Kitab-kitab Feqah

7. Buku-buku tatabahasa, puisi, dan ilmu yang lain-lain.

Ibnu Jamaah pula menambahkan saranan yang lebih terperinci,

· “Jika ada dua buku tentang subjek yang sama, maka buku yang lebih banyak mengandungi kajian al-Quran atau hadith hendaklah ditempatkan di sbelah atas. Jika dalam hal itu kedua-duanya sama, maka sejauh mana pentingnya pengarang buku tersebut mesti dipertimbangkan. Jika dalam hal itu kedua-dua pengarang sama tersohor, maka pengarang yang lebih tua umurnya dan lebih diperlukan ilmunya ditempatkan lebih atas. Kalaupun dalam hal ini kedua-duanya sama, maka buku yang lebih benar atau diyakini penulisannya harus ditempatkan di atas.

· Ibnu Jamaah menyatakan lagi, “ Buku-buku berukuran besar tidak sewajarnya diletakkan di atas buku-buku berukuran kecil, agar longgokkan buku tidak sering roboh.

· Judul buku hendaklah ditulis pada pinggiran luarnya. Sebuah daftar judul bab harus ditulis dalm sampul yang berhadapan dengan “lidah jilidan”. Jika tidak, maka penulisan daftar tersebut akan terbalik.

Musa al-Amawi menyatakan,” Buku tidak boleh dijadikan tempat menyimpan lembaran-lembaran kertas atau benda-benda lain yang serupa.

· Buku tidak boleh dijadikan bantal ( rupa-rupanya al-Amawi telah menjangkakan tabiat buruk sebahagian daripada kita), dijadikan kipas, sandaran punggung atau alasan berbaring, atau digunakan untuk membunuh lalat.

· Untuk menanda halaman yang sdang dibaca,pinggir atau sudut halaman buku tidak boleh dilipat. Orang bodoh sahaja yang sering melakukan hal itu (sekali lagi al-Almawi sudah menjangkakan kebiasaan buruk kita.) Penanda bacaan selembar kertas atau yang menyerupainya harus diguna, tetapi tidak boleh bahan daripada potongan kayu atau apa pun bahan yang diperbuat daripada bahan yang keras.”

Menyalin Buku

· Seorang penyalin yang menyalin halaman-halaman daripada buku haruslah suci daripada hadas dan menghadap kiblat. Badan, pakaian, tinta serta kertas yang digunakan haruslah bersih.

· Setipa manuskrip harus bermula dengan bismillah. Jika pengarang asalnya terlupa, si penyalin harus membuat penambahan. Selanjutnya si penyalin hendaklah menuliskan : “Telah berkata Syeikh....” atau “pengarang mengatakan....”. Selanjutnya dia harus menyalin teks buku sebagaimana yang ditulis oleh pengarangnnya

· Setelah ditulis, buku atau jilid buku harus disudahi dengan puji-pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Rasullullah SAW.

(Dipetik dan diubahsuai daripada buku bertajuk: keunggulan dan keanehan BUKU)


24 Oktober 2010

Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas



Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas

Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 23 Okt:

"Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.

Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam.

"Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

"Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya?

“Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu?

"Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat," katanya.

Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat.

Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur.

"IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo," tambahnya.

Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu.

Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam.

Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu.

"Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya.

"Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam," katanya.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/