03 Jun 2010

Tasauf: Antara syariat, hakikat dan tarekat 1

PADA minggu lepas, kita telah menekankan tentang tasauf sebagai ilmu yang membincangkan tentang rukun Ihsan dan juga hakikat agama Islam.
Kita juga telah menunjukkan bahawa istilah hakikat telah pun digunakan untuk merujuk kepada tahap keimanan yang tinggi yang dicapai oleh seorang yang benar-benar beriman.
Inilah yang tergambar daripada pertanyaan Nabi SAW kepada Muaz r.a yang telah kita petik serta hadis lain yang hampir sama isinya melibatkan seorang sahabat, Harithah r.a.
Formula utamanya adalah, syariat sebagai asas, manakala tarekat adalah wasilah dan hakikat pula ialah buah atau hasilnya. Tiga perkara ini sebenarnya saling melengkapi dan sebati.
Sesiapa yang berpegang dengan syariat, akan melalui tarekat, dan seterusnya akan sampai kepada hakikat. Tidak ada di antaranya pertentangan dan percanggahan.
Oleh kerana inilah, ahli sufi berkata di dalam kaedah mereka yang masyhur: "Setiap hakikat yang bersalahan dengan syariat, maka ia adalah zindiq".
Bagaimana boleh dikatakan hakikat menyanggahi syariat, sedangkan hakikat lahir daripada proses melaksanakan syariat? (Sheikh Abdul Qadir Isa, Haqaiq 'An al-Tasawwuf, H. 475)
Untuk menjelaskan hubungan di antara syariat dan hakikat, di sini dikemukakan satu contoh.
Misalnya solat; pergerakan dan perbuatan zahir berserta rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah faktor syariat yang menjadi jasad solat. Ada pun hadir hati bersama Allah di dalam solat pula merupakan faktor hakikat yang menjadi roh solat.
Amalan yang dilakukan dalam solat merupakan jasadnya, manakala khusyuk dalam solat adalah rohnya.
Apakah faedahnya jasad tanpa roh dan apakah hubungan di antara kedua-duanya? Sebagaimana roh memerlukan kepada jasad untuk mendirikan solat, begitu jugalah jasad memerlukan roh untuk tujuan tersebut.
Oleh kerana itulah, Allah SWT telah berfirman: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (al-Baqarah: 110). Solat tidak dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya melainkan dengan roh dan jasad.
Oleh sebab itulah, di dalam firman Allah di atas, tidak disebut: 'solatlah', tetapi disebut 'dirikanlah solat'.
Daripada sini terdapat hubungan yang erat di antara syariat dan hakikat sebagaimana eratnya hubungan roh dan jasad. Oleh itu, orang Mukmin yang sempurna ialah yang menghimpunkan di antara syariat dan hakikat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan