Inilah inti seruan para ahli sufi kepada umat manusia sebagai mengikut kesan dan jejak Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. (Isa, Haqaiq, H. 474)
Untuk sampai kepada kedudukan yang tinggi dan keimanan yang sempurna, seseorang perlu mengikut jalan tarekat, iaitu bermujahadah melawan nafsu, mendaki daripada sifat kekurangan kepada sifat yang sempurna dengan mendampingi guru mursyid.
Inilah jambatan yang akan menyampaikan seseorang daripada syariat kepada hakikat.
Berkata Imam sufi, Sheikh Ahmad Zarruq r.a: "Tidak ada tasauf melainkan dengan fikah, kerana tidak akan diketahui hukum-hakam Allah yang zahir melainkan dengan syariat. Tidak ada fikah melainkan dengan tasauf kerana tidak ada suatu amalan melainkan dengan siddiq(benar) dan bertawajjuh (mengadapkan diri) kepada Allah. Tidak ada kedua-duanya (tasauf dengan fikah) melainkan dengan keimanan, kerana tidak sah salah satu daripadanya tanpa iman.
"Jadi semuanya menjadi wajib pada hukum sebagaimana wajibnya jasad bagi roh. Tidak ada kewujudan bagi roh melainkan di dalam jasad sebagaimana tidak adanya kehidupan bagi jasad melainkan dengan roh, maka fahamilah". (Qawaid al-Tasawwuf, H. 4)
Tasauf dan tarekat
Istilah tarekat adalah antara istilah dunia tasauf yang sering cuba dimomokkan oleh sesetengah pihak. Seolah-olah semua tarekat sufi yang ada itu adalah sesat dan menyesatkan.
Ada buku terjemahan di negara kita yang menyenaraikan nama tarekat-tarekat arus perdana tasauf, menyatakan dengan berani bahawa semua tarekat ini mengandungi kesesatan!
Sebenarnya, tidak ada bidang dan ilmu yang tidak disusupi oleh mereka yang menyeleweng daripada arus perdana bidang tersebut. Begitulah tasauf dan tarekat.
Cuma jika kita merujuk kepada para ahli bidang tasauf, kita akan mudah membezakan tarekat yang benar dan tarekat yang palsu dan sesat.
Apakah sebenarnya tarekat? Menurut al-Jurjani r.h dalam kitabnya al-Ta'rifaat: "Tarekat adalah jalan yang khusus bagi ahli salikin (orang yang berjalan) menuju kepada Allah dengan melalui pelbagai rintangan dan peningkatan pelbagai makam". (Al-Jurjani, Ta'rifaat H: 94).
Mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah, dalam fatwanya yang berkaitan menyatakan bahawa tasauf adalah suatu program atau modul pendidikan yang menumpukan kepada penyucian diri manusia daripada segala penyakit hati yang menghijabnya daripada Allah SWT.
Beliau turut mentakrifkan tarekat sebagai madrasah yang menjurus kepada proses penyucian diri dan pembaikan akhlak sedangkan sheikh tarekat ialah individu yang dipertanggungjawabkan memimpin proses tersebut.
Tarekat-tarekat ini berbilang-bilang disebabkan beberapa faktor termasuk tabiat semulajadi manusia yang berbeza-beza. Ini seperti yang dapat kita perhatikan dalam berbezanya jawapan Nabi SAW apabila ditanya tentang amalan soleh yang paling utama.
Baginda SAW memberi jawapan yang sesuai dengan orang yang bertanya. Perbezaan ini juga berdasarkan pengalaman dan ijtihad yang berbeza dalam mentarbiyah diri yang dipunyai oleh para guru tasauf selagi ia tidak terkeluar batasan al-Quran dan sunnah.
Namun, ini tidak bermakna kita boleh merujuk terus kepada dua sumber ini untuk mengenalpasti proses pendidikan tasauf yang benar.
Dr. Ali Jum'ah menegaskan, seperti mana ilmu-ilmu lain memerlukan perantaraan para ulama untuk menggali ilmu tersebut daripada dua sumber utama ini, begitu juga kita perlu merujuk kepada para ulama tasauf untuk menggali ilmu tasauf.
Jika tarekat dalam ilmu tasauf itu difahami dalam konteks ini, maka ia akan kelihatan selari dan serasi dengan kerangka agama Islam.
Maka jadilah ia seperti kata-kata Ibnu 'Abidin r.h di dalam kitabnya yang masyhur, Radd al-Mukhtar: "Tarekat adalah jalan yang khusus bagi Ahli Salikin dengan mengharungi pelbagai rintangan dan melalui peningkatan makam-makam...Hakikat adalah musyahadah(menyaksikan) akan Tuhan dengan mata hati. Dikatakan juga, bahawa ia adalah rahsia maknawi yang tidak terbatas dan bertempat.
"Hakikat, tarekat dan syariat saling melazimi kerana jalan menuju kepada Allah mempunyai zahir dan batinnya. Zahirnya ialah syariat dan tarekat. Manakala batinnya adalah hakikat.
"Hakikat berada di dalam syariat dan tarekat sebagaimana pati susu yang berada di dalam susu. Pati susu tidak akan dapat diminum bersama air susu, sekiranya tidak digaulkan.
"Oleh hal yang demikian, maksud ketiga-tiga perkataan tersebut (syariat, tarekat dan hakikat) adalah mendirikan penghambaan kepada Allah sebagaimana yang dikehendaki daripada seseorang hamba". (Isa, Haqaiq, H. 477-478)
ok, mai kita zikir sama-sama..
BalasPadamsusu...susu..susu...susu...susu..susu.....susu.............................
he he he he .. ..
BalasPadam