03 Januari 2011

KEGEMILANGAN DAN KERUNTUHAN ANDALUS


KEGEMILANGAN DAN KERUNTUHAN ANDALUS

15.05.2008 by Dr. Danial Zainal Abidin Category Islam & Cemerlang

Daripada Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.
Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.
Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.
Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.
Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:

Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA:

· Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.

· Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.

· Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.

· Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com

14 Disember 2010

PAYUNG TERJUN


PAYUNG TERJUN

Satu petang yang mendung sebuah pesawat Fokker50, milik sebuah syarikat penerbangan, terbang melintasi hutan hujan Gondwanan berdekatan Teluk Byron. Pesawat itu di tempah khas membawa beberapa orang penting. Di dalamnya terdapat tujuh orang penumpang mereka terdiri dari juruterbang, penolong juruterbang, seorang ahli korprat, seorang pakar pemasaran, seorang pembekal barangan elektronik antarabangsa, seorang pegawai IT dan searang pesara dari sebuah syarikat terkemuka (beliau baru sahaja mendapat wang simpanan kerjanya.)

Semasa melintasi ruang udara hutan tersebut cuaca yang tadinya mendung bertukar menjadi semakin buruk hujan dan ribut petir mula terjadi. Sesekali terasa kapal terbang Fokker50 yang gagah itu bergegar. Para penumpang mula berasa cemas dan ada yang mulai berdoa agar selamat dari malapetaka. Cuaca yang semakin menggila itu menyebabkan Juruterbang mengambil keputusan memberi tahu menara kawalan terdekat kemungkinan perkara buruk mungkin akan berlaku kepada mereka.

“Booomm”! tiba-tiba terdengar satu letupan kecil dibahagian belakang kapal terbang. Rupa-rupanya ekor bahagian pesawat Fokker50 itu telah disambar petir ini menyebabkan pesawat tersebut mula bergoyang dengan kuat. Beberapa saat kemudian pintu kokpit terbuka muncul dua orang juruterbang untuk memberitahu perkara sebenar. “tuan-tuan diharap jangan cemas, saya ingin menyampaikan dua berita... pertama berita baik dan kedua berita buruk. Berita buruknya kemungkinan besar pesawat ini akan terhempas di hutan hujan Gondwanan ini, tetapi berita baiknya di dalam pesawat ini terdapat enam beg payung terjun dua daripadanya telah kami ambil”. Sejurus memberi taklimat tersebut dua orang juruterbang itu melompat keluar dari pesawat tersebut bagi menyelamatkan diri mereka.

Tinggal lima orang penumpang yang semakin cemas dan mula kelam kebut. Tiba-tiba dengan pantas seorang ahli koprat mencapai sebuah beg payung terjun, sebelum membuat terjunan dia berkata” sesungguhnya saya orang yang amat penting di syarikat saya, berpuluh tahun saya bertungkus lumus untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan ini, kehadiran saya di dalam mesyuarat di Mackay, Queensland amat dinantikan oleh Gabenor dan pegawai di sana. Maka walaumacamana pun saya mesti selamat.” Lantas dia pun melompat keluar dari pesawat tersebut.

Melihat sahaja ahli korprat tersebut melompat keluar seorang pembekal barangan elektronik antarabangsa juga mengambil tindakan nekad lalu mengambil sebuah lagi beg payung terjun dan terus membuat terjunan. Tinggalah tiga orang penumpang lagi dalam pesawat Fokker50 tersebut sedangkan beg payung terjun hanya tinggal dua sahaja. Dalam keadaan yang sangat cemas itu ditambah lagi dengan gegaran yang semakin kuat pada pesawat, bangun seorang ahli pemasaran dengan tergesa-gesa lalu mencapai sebuah beg dia juga bertekad untuk melompat keluar dari pesawat tersebut untuk menyelamatkan dirinya, sebelum dia melompat keluar dengan pandangan yang sinis kepada dua penumpang lagi dia berkata :

"Syarikat telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menampung pengajian saya sehingga ke tahap sarjana. Saya merupakan orang penting dalam membawa hala tuju syarikat ke kemuncaknya dan membawa masuk keuntungan yang banyak. Tiada orang yang pandai selain saya di syarikat tersebut.” lalu dengan gembira dia melompat keluar dari pesawat tersebut sambil menjerit “ Kejayaan terus hidup”.

Tinggallah lagi dua orang penumpang yang memandang antara satu sama lain sedangkan beg payung terjun hanya ada satu sahaja lagi. Tiba-tiba orang tua yang baharu sahaja pencen itu bersuara kepada pegawai IT tersebut “ wahai anak muda ambillah payung terjun tersebut dan selamatkanlah diri kamu. Biarlah aku jatuh bersama-sama pesawat ini. Kau masih muda sedangkan aku telah lama dan puas hidup, aku telah mengecapi banyak kebahagiaan di dunia ini, anak-anak ku semuanya telah besar dan semuanya telah berjaya. Sudah sampai masanya aku memberi kesempatan kepada orang yang lebih muda untuk meneruskan kehidupannya”.

Mendengar sahaja kata-kata pesara tersebut pegawai IT tadi tersenyum dengan tenang lalu dia berkata “ Jangan risau pakcik, kita berdua masih boleh menyelamatkan diri. Ahli pemasaran yang mengaku dia pandai tadi sebenarnya tidak mengambil beg payung terjun, tetapi dia terambil beg laptop saya”!

13 Disember 2010

HUKUMAN PENYESALAN


HUKUMAN PENYESALAN

Kisah ini amat memilukan hati. Sepasang suami isteri terlalu sibuk bekerja. Mereka mengambil seorang pembantu rumah bernama Gi untuk menjaga anak mereka yang baru berusia empat tahun, Myra anak mereka merupakan anak yang pandai dan petah bercakap. Sudah menjadi tabiat kanak-kanak mereka suka mencuba dan membuat sesuatu yang baru, ini juga merupakan satu proses pembelajaran kepada kanak-kanak.

Pada suatu pagi Myra sedang bermain di halaman rumahnya sambil mencoret-coret garisan di atas tanah dengan sebatang lidi. Sementara Gi pembantu rumah mereka sedang menjemur kain berhampiran dengan tempat letak kereta. Sedang Myra mencoret-coret garisan di atas tanah dia terjumpa sebatang paku berkarat Myra mengambilnya lalu mula melukis-melukis dan mencoret-coret di atas tanah dengan menggunakan paku berkarat tadi, setelah puas mencoret-coret di atas tanah Myra berjalan menghampiri kereta bapanya yang kebetulannya kereta itu agak baru dan jarang-jarang digunakan oleh bapanya.

Dengan hati yang riang Myra mula mencoret-coret kereta bapanya dengan berbagai-bagai garisan dan lakaran akhirnya penuh di bahagian pintu sebelah kanan kereta bapanya dengan lakaran-lakaran dan garisan.

Apabila bapanya pulang Myra dengan bangganya menceritakan kepada bapanya mengenai lakaran-lakaran dan garisan-garisan yang dilukisnya pada kereta bapanya itu. Bukan pujian yang diterima, tetapi kemarahan yang sangat dasyat. Orang pertama yang dimarahi bapanya adalah pembantu rumah. Kemudian, giliran Myra pula dihukum. Bagi mendisiplinkan anaknya itu. Myra bukan sahaja dimarahi dengan kata-kata tetapi juga dipukul. Kedua-dua belah tapak tangan dan belakang tangan Myra dipukul dengan apa sahaja yang didapati oleh bapanya. Mula-mula dengan kayu pembaris, kemudian ranting kayu dan lidi disertai dengan luahan emosi yang tidak dapat dikawal lagi.

“Ampun abah! Maaf abah! Aduh sakit..sakit!..tolong umi...tolong..!” jerit Myra sambil menahan sakit ditangannya yang sudah mula berdarah itu. Uminya hanya memerhati sahaja, seolah-olah merestui tindakan disiplin yang dilakukan oleh suaminya.

Dengan perasaan marah yang masih berbaki si bapa tadi menyuruh Gi, pembantu rumahnya membawa Myra masuk ke biliknya. Dengan air mata berlinangan pembantu rumah itu membawa Myra masuk ke biliknya. Pada sebelah petang ketika mandi Myra menjerit-jerit menahan sakit dan pedih. Esoknya tangan Myra mula membengkak, sementara umi dan bapanya masih bekerja seperti biasa. Semasa pembantu rumah memberitahu mengenai keadaan Myra, uminya hanya berkata “ sapukan ubat krim sahaja”

Masa berganti masa, hari berganti hari Myra mula demam akibat luka ditangannya telah dijangkiti kuman..tapi uminya hanya menyuruh pembantu rumah memberi Myra makan ubat penurun panas sahaja. Sehinggalah satu malam suhu badan Myra semakin tinggi dan Myra mula meracau-racau sambil mata hitamnya telah naik ke atas, barulah ibu-bapanya mula kelam kabut dan membawa Myra ke hospital pada malam itu juga.

Selepas diperiksa, doktor mengesahkan Myra demam disebabkan tangannya yang telah dijangkiti kuman dan mula membusuk. Setelah seminggu di hospital, doktor memanggil ibu bapa Myra serta memberitahu mereka, “Tuan-puan, maaf... kita tidak ada pilihan lain lagi....”

Doktor mengatakan kedua belah tangan Myra perlu di potong untuk mengelakkan jangkitan kuman yang semakin serius di tempat lain, ini juga adalah cara untuk menyelamatkan nyawa Myra.

Mendengar berita yang mengejutkan itu. Kedua orang tua Myra bagaikan disambar petir, jantung mereka bagaikan berhenti seketika, dengan air mata yang berjurai dan tangan yang mengigil, mereka menandatangani surat persetujuan memotong tangan anak mereka yang mereka kasihi itu.

Selepas proses pembedahan memotong tangan Myra selesai.....Myra mulai sedar dia mula rasa sakit dan menangis kerana ubat bius yang di berikan semakin hilang malah dia semakin bingung apabila melihat kedua-dua tangannya dibalut dengan kain putih lebih menghairankan lagi kedua-dua ibu bapanya berada disisi katil sambil menangis teresak-esak. Dalam keadaan menahan sakit Myra berkata kepada ibu bapanya, “ abah, umi Myra minta maaf Myra takan buat lagi..Myra sayang abah Myra sayang umi..Myra tak conteng kereta abah lagi...Abah mana tangan Myra ? tolonglah pulangkan tangan Myra, mengapa abah ambil..Myra janji Myra tak buat lagi..macamana Myra nak main ngan kawan-kawan kalau tangan Myra abah ambil. Umi tolonglah pulangkan tangan Myra ..Myra nak pinjam sekejap aje.. Myra nak salam abah ngan umi Myra nak minta maaf..

Kata-kata si manis itu sangat menyedihkan hati ibu-bapanya... hati mereka semakin rawan... air mata ibu dan bapa Myra bagaikan tidak dapat berhenti dari mengalir... si ibu mula terasa pemandangan matanya semakin gelap disebabkan asakan emosi yang terlalu sedih si bapa pula hanya tertunduk memandang lantai... tapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

12 Disember 2010


Qaseh Puteri membaca kisah hidupmu hatiku menjadi rawan. Kau gadis Cilik yang ayu dalam kelembutan mu rupanya kau adalah gadis yang hebat kecerdasan dan kepetahanmu mematah hujah Mother Rosalia menyebabkan dia menjadi sasau seketika, kehebatan kau berdebat dengan paderi Tuan Besar Keramat Antonio Arantez menyebabkan otaknya lemah dan mulutnya terkancing, itu baru sahaja kau berhujah mengenai hari Sabbth (Sabtu) dan sedikit perihal ketuhanan. Sungguh! kau tidak memalukan Syeikh yang mengajar ilmu agama padamu . Namun paderi keramat dan dikatakan suci telah meragut keperawananmu dengan sangat kurang ajar! hatiku bertambah pilu untuk mengetahuinya tapi itulah yang terjadi.....

Namun pertarungan kau dengan Tuan Besar Keramat Antonio Arentez di sebuah bilik dalam gereja itu rupanya menjadi saksi kau rupanya bukan sebarangan gadis tidak sia-sia ilmu Gayong Asli yang diajar oleh bapamu, kau membuktikan masih ada anak gadis Melayu yang sehebat Tun Teja. Kalau tidak kerana soldadu keparat yang berjaya memecah pintu bilik itu sudah tentu Tuan Besar Keramat Antonio Arentez itu telah menjadi bangkai..tembakan istinggar dari soldadu itu mencederakan bahu mu apalah daya mu sebagai seorang wanita.

Argh!.... Hati terluka dengan apa yang berlaku kalaulah aku ada pada waktu itu akan ku cincang lumat paderi keparat tersebut..biar aku tunjukkan kepantasan dan kehebatan silat Gayong yang aku pelajari. Namun.... Qaseh Puteri... aku tidak dapat berbuat demikian kita terselang dengan garisan waktu yang panjang aku berada di sini...pada tahun 2010 sedangkan kau berada pada 1528 ketika kerajaan Melaka jatuh ditangan Portugis dan bangsa kita di perbuat seperti anjing kurap. Aku hanya membaca kisah mu dalam manuskrip tua tulisan tanganmu... dan emosi ku kadang-kadang terlambung dalam ruang lingkup zaman mu.

Di kejauhan ini aku akan terus berdoa agar bangsa kita memegang kuat pada agamanya pada agama Islam yang kita cintai...dengan itu barulah kita akan di pandang mulia dan digeruni...

"Aku Redha Allah sebagai Tuhanku...dan aku Redha Islam sebagai agamu ku...dan aku Redha Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabiku dan rasulku"


( Monolog aku dengan novel Biarawati Qaseh Puteri)

11 Disember 2010

ISTIGHFAR MENYUBURKAN KANDUNGAN


ISTIGHFAR MENYUBURKAN KANDUNGAN

Ini adalah berita gembira bagi setiap orang yang mahukan anak dan keturunan yang soleh. Dalilnya adalah firman Allah.s.w.t:

àMù=à)sù (#rãÏÿøótFó$# öNä3­/u ¼çm¯RÎ) šc%x. #Y$¤ÿxî ÇÊÉÈ È@Åöãƒ uä!$yJ¡¡9$# /ä3øn=tæ #Y#uôÏiB ÇÊÊÈ /ä.÷ŠÏôJãƒur 5AºuqøBr'Î/ tûüÏZt/ur @yèøgsur ö/ä3©9 ;M»¨Zy_ @yèøgsur ö/ä3©9 #\»pk÷Xr& ÇÊËÈ

10. "Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.

11. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

12. "Dan ia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Dalam ayat yang mulia ini disebutkan beberapa hasil dari istighfar sebagaimana berikut:

  1. Mendapat keampunan dari dosa yang telah dilakukan
  2. Turunnya hujandan dikeluarkannya rezeki.
  3. Allah s.w.t menganugerahkan lebih banyak harta dan anak.
  4. Allah s.w.t menjadikan kebun dan taman-taman

Dalam menafsirkan firman allah.s.w.t yang bermaksud : “ dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu”. Atha menyatakan “ Allah sw.t. akan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu”.

Ibnu kathir menyatakan:” Allah s.w.t akan memeberi kamu harta dan anak-anak. Dalam sebuah hadith disebutkan: “Dan Allah s.w.t akan memberinya rezeki dari jalanyang tidak disangka-sangka.” Semua rezeki datangnya dari Allah s.w.t

(Ini adalah berita gembira kepada mereka-mereka yang belum memperolehi anak. Hendaknya istighfar ini dijadikan amalan dan sudah tentunya mestilah kedua-duanya beramal iaitu si suami dan si isteri. Jangan hanya suami sahaja yang beramal atau si isteri sahaja yang beramal ini menunjukkan ketidak seriusan kita untuk mendapatkan hajat kita. Di samping itu banyakkanlah berdoa terdapat doa-doa yang di ajar di dalam al-quran yang boleh di amalkan dan jangan lupa di zikirkan juga nama-nama Allah yang agung seperti Ya Khalid dan lain-lain.) (penulis blog)