MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu
memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas
yang kuat berikut perlu dilakukan:-
1) Berniat
dalam hati untuk berpuasa di malam hari.
2) Besahur
di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50
ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat
Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu,
kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat
sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith
Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat
digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witir dan beristifghar
dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang
yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur.
Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan
malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati
sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.
3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak
tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang
kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah
kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling
diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail
as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.
4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah
puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita
berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم
حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk
tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi
sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat
Al-Bazaar,)
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya
menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام
العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka,
orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang
dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ;
Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad
Syakir)
5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin
hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang
berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak (
Riwayat Ibn Majah ; Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas
kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada
dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari,
4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum
menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita
agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak
mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW
menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas
air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).
7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji
rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر
على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن حسا حسوات
من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan
kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan
jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad
& At-Tirmidzi)
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari
nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq
wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah
basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat
Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.
8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan
juadah berbuka untuk
orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
من فطر
صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah
berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang
berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807;
Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ
حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan
seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini
dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga "
(Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul
Ahwazi, )
9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara
berjemaah buat lelaki dan
wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith
riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid
dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan
kepada 20 rakaat.
10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat
gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.
11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman
berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi
individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur
pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang
ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud,
Ibn Majah)
Sekian dan Ramadhan Kareem..
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
28 Syaaban 1428 H
10 September 2007
Semoga kita sama-sama dapat mengamalkannya kalau tidak semua mungkin sebahagian daripadanya InsyAllah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan